Lokman Adam

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara sebulan terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman  itu selepas Lokman didapati bersalah mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Hari ini, tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara membuat keputusan itu.

Panel hakim mendapati Mahkamah Tinggi tidak membuat kesilapan apabila menjatuhkan hukuman berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee supaya hukuman penjara itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan selain memerintahkan jaminan bon sebanyak RM3,000 dikenakan ke atas perayu.

Untuk makluman, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi menjurus kepada intimidasi dan ancaman serta menghina mahkamah tahun lalu.

Collin menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Bekas Ahli MKT UMNO itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman selaku responden dan memohon perintah supaya bekas Ahli MKT UMNO itu, dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Pada 22 Oktober 2019, Sequerah memberi kebenaran kepada Tommy untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman, kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Sebelum ini, Lokman didakwa mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi, kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast