Nik Omar Nik Abdul Aziz

PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) mewakili PKR, Nik Omar Nik Abdul Aziz berhasrat mahu meneruskan legasi ayahnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin.

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia itu tidak kisah diletakkan di mana sahaja untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana matlamatnya adalah mahu memenangkan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, menerusi pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, wasilah yang hendak ditonjolkan kepada rakyat Malaysia adalah komitmen tinggi untuk perjuangkan keadilan kepada rakyat.

“Perak ke? Kelantan ke? Masih dalam Malaysia. Walaupun dihantar ke Sabah sekali pun, yang penting untuk menangkan PH.

“Soal parti nombor dua, sebab kira dalam satu payung kita bincang dalam PH,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Nik Omar berkata, jika beliau bertanding di kerusi Parlimen, beliau akan cuba melakukan yang terbaik kerana semua itu melibatkan urusan negara dan ia adalah untuk kebaikan semua bukan sahaja untuk keluarganya.

Ditanya sama ada beliau telah berpindah dari Parti Amanah Negara (Amanah) ke PKR, Nik Omar menegaskan, soal berkenaan parti adalah nombor dua yang difikirkankan kerana parti itu juga berada dalam gabungan PH.

Untuk rekod, Nik Omar merupakan ahli parti Amanah dan pernah menjadi calon PH di kerusi DUN Chempaka pada PRU-14 namun tewas dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood. – MalaysiaGazette