majlis peguam
Salinan surat bertarikh 21 Februari 2022 yang dihantar oleh Majlis Peguam kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam ditempelak kerana tindakannya mempersoalkan kesaksamaan dakwaan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat buku tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, badan tersebut telah diberi peluang untuk menyertai pasukan berkenaan namun mereka menolaknya.

“Peliknya. Sendiri tak mahu kerjasama dan sertai siasatan bila diberi peluang, sendiri yang tuduh kesaksamaan siasatan.

“Tommy diberi peluang untuk kerjasama, dia tolak. Majlis Peguam diberi peluang untuk sertai pasukan khas, mereka tolak.

“Lepas itu, Majlis Peguam pula mempersoalkan kesaksamaan pasukan petugas yang menyiasat dakwaan itu pulak. Kata mungkin berat sebelah pulak,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah dalam satu kenyataan menyuarakan kebimbangan berhubung penyahsulitan laporan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dakwaan salah laku dalam buku Tommy.

Dalam hantaran berasingan, pentadbir Facebook Najib Razak mengingatkan kembali bahawa pada 16 Februari lalu, Majlis Peguam telah diminta untuk mengambil bahagian dalam pasukan berkeaan.

Lima hari kemudian, Majlis Peguam membalas bahawa mereka tidak dapat beri maklum balas kepada, atau mengambil bahagian dalam pasukan khas dan tidak dapat menyertai sesi konsultasi dengan pasukan khas. – MalaysiaGazette