Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (kiri) beramah mesra dengan sebahagian pemuzik orkestra semasa melihat fasiliti pada Majlis Perasmian Angkasapuri Kota Media di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan parti UMNO tidak mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Jelas Naib Presiden UMNO itu, partinya konsisten dengan tidak mencampuri urusan mahkamah dan kuasa memberikan pengampunan adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Isu pengampunan adalah kuasa Agong bukan kuasa parti. UMNO pun cakap tak masuk keputusan mahkamah, kita tak masuk urusan mahkamah.

“Untuk pembebasan Datuk Seri Najib ada dua tindakan dilakukan peguam beliau yang pertama semakan kehakiman iaitu mahkamah akan putuskan, jadi terserah kepada mahkamah.

“Yang kedua, pengampunan oleh badan yang dipengerusikan oleh Agong, itu terserah kepada lembaga untuk membuat keputusan,” katanya kepada media selepas merasmikan Media City Angkasapuri di Angkasapuri hari ini.

Agong pada 5 September lalu bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

Baginda bertitah, undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil akan menjurus kepada penindasan dan kezaliman dalam sistem pemerintahan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

Bekas perdana mMenteri itu disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat pelaburan kerajaan, SRC International Sdn Bhd tetapi memohon untuk semakan serta memohon pengampunan diraja. – MalaysiaGazette