CPTPP Anwar
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dikhabarkan akan mencuba nasib bertanding di Parlimen Tasek Gelugor sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) ini.

Menurut sumber, Bersatu meletakkan Wan Saiful dengan misi untuk mempertahankan kerusi itu yang dimenangi ketika parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu.

“Wan Saiful disebut-sebut akan mengambil alih kerusi incumbent kerana beliau dilihat sebagai tokoh masa depan yang sentiasa bekerja keras membantu memperkasakan parti.

“Walaupun Wan Saiful sendiri banyak bekerja di Kubang Pasu tetapi kepimpinan Bersatu Kubang Pasu dilihat sebagai  lemah dan kepimpinan bahagian juga gagal menubuhkan cawangan yang mencukupi untuk berkempen dengan efektif.

“Hubungan Bersatu Kubang Pasu dengan Bersatu Pusat juga adalah kurang baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lebih daripada itu, penyandang kerusi Tasek Gelugor juga dikatakan tidak akan mempertahankan kerusinya dan setuju untuk memberikan laluan kepada calon lain.

Menurut sumber itu lagi, Wan Saiful lebih disenangi komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas.

“Sebagai bekas ahli Pas, Wan Saiful dianggap boleh mengeratkan lagi hubungan Bersatu dan Pas di Tasek Gelugor. Walaupun Pas menuntut Tasek Gelugor, Pas dirasakan boleh menerima Wan Saiful kerana latar belakang beliau,” katanya lagi.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon UMNO, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi.

Bagaimanapun, Shabudin yang menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor selama dua penggal sejak PRU13 atas tiket UMNO mengumumkan keluar daripada parti itu pada 14 Disember 2018 dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Bersatu pada 2019. – MalaysiaGazette