PUTRAJAYA – Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mengumumkan tujuh nama ahlinya untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Daripada tujuh calon itu, dua daripadanya adalah calon muka lama iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah untuk kerusi Kubang Pasu.
“Datin Che Asmah Ibrahim untuk Parlimen Sepang, Mior Nor Haidir Suhaimi di Parlimen Tapah, Harumaini Omar di Hulu Selangor, Mohd Shaid Rosli di Parlimen Kuala Selangor dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di Parlimen Titiwangsa,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Parti pejuang tanah Air (Pejuang), di sini, hari ini.
Mohd Shaid Rosli adalah ADUN Jeram sementara Harumaini adalah ADUN Batang Kali sementara Khairuddin adalah calon Bersatu di Parlimen Jasin pada PRU14 lalu.
Ditanya kerusi mana yang akan ditandingi Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, beliau terbuka untuk bertanding di mana-mana kerusi.
“Ya saya terbuka (untuk mana-mana kerusi,” katanya ringkas.
Ditanya desas desus bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador akan diletakkan di Parlimen Rembau, Mukhriz berkata, rakyat perlu tunggu.
“Adakah Tan Sri Abdul Hamid Bador akan dicalonkan di Rembau? Kita tunggu dan lihat,” katanya.
Dalam sidang media sama, Mahathir berkata, GTA akan bertanding lebih 100 kerusi Parlimen namun perkara itu masih belum diputuskan diperingkat pusat.
“Kita belum lagi tentukan seperti di Johor dan Sabah.
“Kalau sudah dapat tamatkan negeri Johor dan Sabah, mungkin kita akan tanding lebih 120 kerusi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata GTA, akan mengumumkan senarai penuh calon pada 2 November depan. – MalaysiaGazette