Haniza Mohd Talha

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia menggesa agar presidennya, Larry Sng untuk menghadiri mesyuarat khas Ahli Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia yang akan diadakan pada 3 November ini.

Haniza Mohamed Talha berkata, kehadiran Larry penting bagi menjawab persoalan dan tanda tanya yang dibangkitkan mengenai kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Presiden PBM yang sah.

Kedudukan Zuraida itu, katanya adalah sepertimana yang telah diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober lalu dan telah diperakui dalam minit mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Keenam yang lalu.

Artikel berkaitan: Saya masih Presiden PBM bukan Zuraida – Larry

Zuraida ganti Larry Sng sebagai Presiden PBM

Hanya saya yang akan tanda tangan watikah calon PBM – Larry Sng

”Panggilan untuk mengadakan mesyuarat ini adalah termaktub di dalam Fasal 21 (1) Perlembagaan Parti Bangsa Malaysia yang membolehkan Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga 1/3 daripada jumlah keseluruhan ahli-ahli Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia untuk diadakan satu mesyuarat bagi menyelesaikan isu-isu tertentu,” ujarnya.

Semalam menerusi hantaran di Facebook, Larry sekali lagi menegaskan beliau masih lagi Presiden Parti Bangsa Malaysia.

Justeru hanya beliau sahaja yang layak menandatangani watikah calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini.

Malah menurut Larry, selama ini beliau tidak pernah meletakkan jawatan mahupun keahlian dalam parti tersebut. – MalaysiaGazette