Larry Sng bersama Zuraida di perasmian Persidangan Agung Tahunan Pertama PBM di Shah Alam pada 1 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sekali lagi menegaskan beliau masih lagi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Justeru hanya beliau sahaja yang layak menandatangani watikah calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) ini.

Malah menurut Larry, selama ini beliau tidak pernah meletakkan jawatan mahupun keahlian dalam parti tersebut.

Bahkan, beliau akan bertanding atas tiket PBM pada PRU ini.

“Parti ini dimulakan dengan asas dari Sabah dan Sarawak. Semua pengumuman yang dibuat pemimpin parti sebelum ini hanyalah spekulasi kerana semua pengumuman rasmi akan dibuat oleh saya dan hanya saya akan menandatangani watikah untuk PBM dalam PRU15,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Pada 8 Ogos lepas, Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid mengumumkan Datuk Zuraida Kamaruddin secara rasmi sebagai Presiden PBM selepas menerima sokongan sebulat suara pada persidangan agung tahunan parti itu. 

Zakaria berkata, Majlis Tertinggi PBM akan menjalankan proses sewajarnya bagi urusan teknikal termasuk memaklumkannya kepada  Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Nor Hizwan Ahmad

Setiausaha Agung PBM, Hizwan Ahmad yang dihubungi MalaysiaGazette berkata, beliau akan meneliti perkara berkenaan dan membuat beberapa semakan.

“Sementara ini parti akan menumpukan kepada persiapan berdepan pilihan raya,” katanya. -MalaysiaGazette