Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) melakukan gimik Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Pahang pada Majlis Soladariti Kestabilan dan Kemakmuran di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2022.

BERA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin parti itu akan mengekalkan penguasaan di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini berikutan prestasi ekonomi yang cemerlang di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail termasuk kejayaan beliau mengurangkan hutang Kerajaan Negeri.

Menurut Ahmad Zahid, kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu sebagai Menteri Besar Pahang juga akan dikekalkan selepas PRU15.

“Saya yakin Kerajaan Negeri Pahang yang telah memperlihatkan prestasi yang baik terutama dipimpin oleh Datuk Seri Wan Rosdy.

“Kita berikan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang yang telah dapat mengurangkan hutang Kerajaan Negeri yang hanya tinggal RM950 juta daripada RM3 bilion.

“Insya-Allah saya yakin kalau beliau diberikan perkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku untuk sekali lagi jadi Menteri Besar, saya yakin Datuk Seri Wan Rosdy akan dapat berikan kepimpinan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran (SKK) dan pelancaran Jentera Barisan Nasional Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan kepimpinan yang lain.

Ahmad Zahid berkata, program Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran (SKK) tidak akan berakhir begitu sahaja sebaliknya dengan mencapai kemenangan pada PRU15.

Himpunan itu menunjukkan kepada rakyat bahawa parti BN dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri tidak berpisah sebaliknya seiringan.

Presiden UMNO itu menegaskan, permuafakatan dalam kalangan ahli BN amat penting dalam menentukan kemenangan parti itu pada pilihan raya umum yang akan berlangsung bulan depan.

“Tanpa kesepakatan dalam kalangan kita mustahil untuk kita pertahankan kerusi yang kita menang ini, mustahil untuk kita memperolehi semula kerusi yang telah kita kecundang dan mustahil juga untuk kita merebut kembali kerusi yang berpotensi untuk dimenangi.

“Maka tidak ada jawapan lain melainkan solidariti dalam kalangan jentera Barisan Nasional dan parti-parti komponen BN di seluruh negara,” katanya.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, BN tidak boleh menang PRU15 hanya dengan sokongan ahli sahaja tetapi juga sokongan pengundi atas pagar.

Serentak itu Ahmad Zahid menyeru jentera parti untuk mendekati pengundi bukan ahli BN.

Menurut Ahmad Zahid, pengundi terbabit turut merasai penderitaan ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan dan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selama 17 bulan kerana mengisytiharkan darurat.,

“Selama 39 bulan, 22 bulan di tambah 22 bulan rakyat seluruh negara amat sengsara. Maka alhamudullilah, Allah telah mentakdirkan kita mempunyai perdana menteri seorang tokoh daripada UMNO, BN yang menyelamatkan negara kita.

“Tentunya dalam PRU15 ini pada 19 November 2022 sekali lagi kita wajib bekerja keras untuk menentukan bahawa kejayaan kita dalam PRU11, 12 dan 13 mesti kita dapatkan semula,” ujar Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette