Hishammuddin Tun Hussien

SHAH ALAM – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi bayangan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada nama lain yang dicalonkan untuk mempertahankan kubu kuat UMNO-Barisan Nasional (BN) itu melainkan namanya sendiri.

“Saya tak tahu tempat lain, setahu saya orang Sembrong pun bagi cadangan kepada pucuk pimpinan tak ada nama lain.

“Jadi kita tunggulah, apa pun boleh berlaku. Saya harap yang terbaik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-10 UNIFIL ke Lubnan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Semalam, PKR mengumumkan tujuh calon berprofil tinggi untuk bertanding pada PRU15, pada 19 November depan.

Tujuh kumpulan itu diketuai bekas penjawat awam kanan Datuk Zainal Azman Abu Seman, yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Turut diumumkan ialah Nik Omar Nik Aziz, yang pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan pada 2018.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, calon berprofil tinggi tidak menjamin kemenangan mana-mana parti sebaliknya individu yang turun padang dan memberi berkhidmat kepada rakyat bakal menjadi pilihan utama kepada pengundi.

“Saya pun tak faham apa yang dimaksudkan dengan calon berprofil tinggi atau calon yang wajar, akhirnya pengundi atau rakyat akan menentukan (kemenangan).

“Ia tak kira isu calon, saya tahu memang seronok bila nak masuk penamaan calon, lepas itu masuk kempen. Isu-isu yang berprofil tinggi menjadi tanda tanda tanya.

“Secara realitinya rakyat akan memberi sokongan undi kepada mereka yang betul-betul boleh buat kerja dan berkhidmat di kawasan masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, secara berseloroh beliau mahu membuat program rakyat bersama Angkatan Tentera Malaysia)(ATM) secara kerap sekiranya calon berprofil tinggi itu boleh memenangkan BN di Parlimen Sembrong.

“Sebab itu kalau diarahkan oleh PTP, PTU, PTL hari-hari buat macam gini (program bersama ATM) saya pun nak buat untuk rakyat saya dekat Sembrong.

“Akhirnya yang akan menentukan sama ada saya berhak atau tidak untuk mewakili mereka di Sembrong (adalah pengundi),” katanya lagi. – MalaysiaGazette