Dari kiri, CEO Rural Capital Sdn Bhd, Hiruddin Hashim; Dr. Abdul Rahman, Syaiful Rizal dan Penolong Pegawai PPD Sabak Bernam, Mohd Shabuddin Muanam bersama murid yang menerima bantuan cermin mata.

SABAK BERNAM – Kira-kira 300 murid dari keluarga B40 yang belajar di sekolah dalam seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam di sini, menerima cermin mata.

Program tajaan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama PPD itu melibatkan murid dalam kawasan Sabak Bernam dan Sungai Besar yang diberikan secara percuma.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Amanah YBR, Datuk Dr. Abdul Rahman Bakri, pihaknya amat memahami murid yang mengalami masalah penglihatan dan prihatin dengan perkara itu, setiap mereka diberikan cermin mata.

“Mereka ini bukan sahaja mengalami masalah penglihatan, malah keluarga hadapi kesempitan kewangan untuk menyediakan cermin mata kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyerahan cermin mata itu disempurnakan beliau di Sabak Bernam, manakala Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Widia Wati Abuzar di Sungai Besar.

Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Ketua Bahagian Operasi, Mohd Mukhti Abd. Rahman.

Kata Dr. Abdul Rahman, senarai nama penerima yang layak menerima cermin mata itu diperoleh daripada PPD Sabak Bernam, sebelum dirujukkan kepada YBR untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Sementara itu, dalam majlis di Sungai Besar, Widia Wati berkata, YBR sentiasa prihatin dalam membantu anak keluarga kurang bernasib baik.

Beliau berharap dengan bantuan itu, dapat membantu murid dalam meneruskan pembelajaran dengan yakin serta menjadikan kehidupan mereka menjadi lebih produktif dan sejahtera.

Tahun ini katanya, YBR memperuntukkan lebih RM3 juta bagi pemerkasaan masyarakat dalam meningkatkan mutu kualiti murid dan pelajar melalui pendidikan serta membantu mereka kurang bernasib baik dalam meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan dan kepentingan pendidikan secara berterusan. – MalaysiaGazette