KUALA LUMPUR – Eksport perabot Malaysia pada Januari-Julai 2022 mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu walaupun industri itu berdepan dengan pelbagai cabaran, menurut Majlis Perabot Malaysia (MFC).
Presidennya, Khoo Yeow Chong memberitahu Bernama pada acara Reka Interiors Exhibition (RiX) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam, jumlah keseluruhan eksport perabot, termasuk perabot kayu ialah RM8.50 bilion berbanding RM7.20 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MTC Noraihan Abdul Rahman berkata, eksport perabot kayu bagi tempoh tersebut berjumlah RM6.93 bilion, naik 14.4 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.
“Pengukuhan dolar AS turut menyumbang kepada kenaikan nilai eksport,” katanya.
Program itu bertujuan mengembangkan sektor perabot dan perkayuan Malaysia serta untuk mengukuhkan reka bentuk dan rantaian nilai pembuatan bagi memenuhi kehendak pasaran antarabangsa.
Program yang berlangsung selama enam bulan itu menghubungkan pereka yang mengambil bahagian dengan pengilang untuk mengkonsepkan, mereka bentuk dan mencipta produk perabot dan kayu yang berdaya maju secara komersial bagi pasaran global.
Produk akhir akan diperagakan di Malaysia Export Furniture Exhibition (EFE) 2023, salah satu pameran kelengkapan dan perabot antarabangsa terbesar di Asia Tenggara. – BERNAMA