Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan wang berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah hasil daripada aktiviti haram.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman ringkasnya berkata, mahkamah mendapati daripada keterangan saksi pendakwaan, tidak ada langsung keterangan menunjukkan wujudnya perlakuan predikat (aktiviti haram) dan daripada mana wang tersebut diperoleh.

“Sebaliknya, keterangan saksi pendakwaan ke-8 (SP8) Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Farid Jabbar, mengesahkan dalam pemeriksaan balas bahawa tidak ada apa-apa aktiviti haram yang menunjukkan tertuduh menerima wang itu melalui cek dan penerimaan wang itu bukan penerimaan hasil daripada aktiviti haram,” kata hakim.

Beliau berkata  oleh kerana tidak ada perlakuan kesalahan predikat, maka mungkin tidak ada hasil daripada aktiviti haram sekali gus kesalahan predikat (aktiviti haram) tidak berjaya dibuktikan.

Hakim Muhammad Jamil dalam keputusannya melepas dan membebaskan  Muhammad Shafee, 70, atas dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berkata pendakwaan juga terikat dengan saksi-saksi pendakwaan mereka.

Menjelaskan mengenai pertuduhan pertama dan kedua iaitu tertuduh didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua keping cek, Hakim Muhammad Jamil berkata tidak terdapat apa-apa keterangan yang menunjukkan bahawa satu kesalahan aktiviti haram dilakukan sama ada oleh Najib atau mana-mana orang lain yang boleh mencemari wang berkenaan.

“Pada pandangan saya, tarikh pada masa penerimaan adalah penting untuk menentukan wang berkenaan adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Perlakuan suatu kesalahan predikat mestilah sebelum atau pada tarikh penerimaan hasil daripada aktiviti haram seperti dalam pertuduhan. Tarikh penerimaan hasil daripada aktiviti haram yang dinyatakan dalam pertuduhan pertama dan kedua ialah pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Bagaimanapun katanya pendakwaan gagal menunjukkan sebelum atau pada tarikh penerimaan tersebut perlakuan suatu kesalahan predikat yang daripada mana wang berkenaan diperoleh.

Berhubung pertuduhan ketiga dan keempat iaitu melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada LHDN, Hakim Muhammad Jamil berkata, kedua-dua pertuduhan itu tidak dapat dibuktikan kerana tiada apa-apa transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram berlaku pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 seperti dalam pertuduhan.

“Tindakan dilakukan tertuduh lebih kepada perlakuan kesalahan di bawah Seksyen 112 dan Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan bukan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA),” katanya.

Justeru, Hakim itu berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan dihadapinya.

“Daripada kesemua keterangan yang ada pada saya sekarang, adalah tidak selamat untuk saya memanggil tertuduh membela diri atas empat pertuduhan itu. Saya juga tidak bersedia untuk mensabitkan tertuduh jika pembelaan dipanggil dan tertuduh memilih untuk berdiam diri.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan tersebut tanpa dipanggil untuk membela diri. Jaminan RM1 juta dikembalikan semula kepada penjamin dan pasport diserahkan semula kepada tertuduh,” kata hakim itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi selepas prosiding memberitahu, pihaknya akan mendapatkan arahan daripada Peguam Negara sama ada untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita, mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguamnya dan berharap supaya kes itu berakhir di Mahkamah Tinggi dan tidak berlanjutan ke peringkat rayuan.

Beliau diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee. – BERNAMA