Foto yang dikongsi oleh Muhyiddin dalam Facebook beliau.

KUALA LUMPUR – Parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) sudah mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Tan Seri Muhyiddin berkata, pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh komponen parti itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN yang berlangsung malam tadi.

Menurut Muhyiddin, sikap toleransi dalam kalangan pemimpin komponen PN menghasilkan keputusan yang dipersetujui bersama.

Pengumuman pembahagian kerusi itu akan dilakukan mengikut negeri tidak lama lagi.

“Alhamdulillah Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) telah mengadakan mesyuarat semalam dan berjaya memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen PN.

“Saya merasa bangga dan bersyukur atas sikap toleransi dan saling hormat menghormati setiap parti komponen dalam perbincangan tersebut.

“Insya-Allah dalam beberapa hari lagi Perikatan Nasional di setiap negeri akan mengumumkan keputusan tersebut,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dalam kenyataan.

PN terdiri daripada parti Bersatu, Pas dan Gerakan.- MalaysiaGazette