Pemilik Cell Tissue, Khairul Idzwan Baharin

KUALA LUMPUR – Cell Tissue Sdn. Bhd. merupakan syarikat kejuruteraan sel dan tisu manusia pertama di Malaysia berjaya mencatat jualan RM10 juta dalam masa sehari menerusi program kesihatan Alpha Celle, Life Anew.

Pengasasnya, Khairul Idzwan Baharin berkata, program kesihatan itu  bakal memberi manfaat kepada orang ramai bermula dari pemeriksaan, penjagaan, pemantauan hingga sepanjang rawatan.

“Kami tidak menjangka jualan RM10 juta sehari yang dibuat pada 16 Oktober lalu yang merupakan hanya pra pelancaran. Tiket program itu habis terjual dan disebabkan permintaan ramai kami terpaksa menganjurkan di lokasi yang lebih besar.

“Ketika pelancaran itu, kami tidak menjangka juga lebih 100 pengunjung yang mendaftar untuk mengikuti program Alpha Cell, Life Anew.

“Ia memang sambutan luar biasa walaupun pada mulanya memang hanya program pengenalan namun membuktikan masih ramai yang mementingkan kesihatan sebelum sakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Khairul Idzwan yang juga seorang doktor, program yang diwujudkan itu memberi nasihat merangkumi semua aspek kesihatan sebagai satu ikhtiar.

“Dalam negara kita, ramai yang bila sudah sakit baru hendak mendapatkan rawatan dan jarang membuat pemeriksaan. Jadi, menerusi program ini kita sediakan semua.

“Hari ini kita ada teknologi untuk mencegah penyakit sebelum terjadi di mana pakej ditawarkan juga murah dan dapat banyak manfaat. Kita menyediakan pusat kesihatan dan pakar untuk menjalankan program ini,” katanya.

Sementara itu, Khairul Idzwan berkata, program itu bakal membuat pelancaran secara rasmi dan besar-besaran program kesihatan itu dalam waktu terdekat selain menyasarkan 2,000 pendaftaran tahun depan.

“Berdasarkan sambutan luar biasa, saya lebih bersemangat nak melancarkan secara besar-besaran dalam masa terdekat dengan tawaran dan manfaat lebih lagi.

“Kita juga merancang untuk mengadakan siri jelajah di seluruh negeri dan mahu menggalakkan lebih ramai terbabit dalam program ini untuk sama-sama menjaga kesihatan.

“Kita menyasarkan untuk membantu 2,000 orang dengan mendaftar program ini pada 2023 sekali gus menjadikan rakyat Malaysia bebas penyakit, hidup lebih sihat dan lebih lama,” katanya.

Syarikat Cell Tissue sebelum ini tercatat dalam Malaysia Book of Record yang menghasilkan produk berasaskan sel dan tisu manusia. – MalaysiaGazette