Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi mengetahui keputusan perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan akhir empat tuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Beliau yang tiba di mahkamah pada pukul 9.10 pagi disambut penyokongnya dengan laungan “Jalan Tegak” yang dipercayai membawa maksud yakin.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu hadir dengan memakai blazer warna biru tua dan berseluar khakis warna coklat.

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun, manakala pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Oktober.

Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim Razali, iaitu bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armad) serta Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemuka mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya, ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, iaitu hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette