Gerakan Mana Kolej Kami (GMKK) UKM menyerahkan memorandum kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UKM Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil.-MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyediakan penginapan kepada 12,920 pelajar di kolej kediaman bagi Sesi Akademik 2022/2023.

Sehingga 27 Oktober lalu menurut Data Pusat Perumahan Pelajar (PPP) UKM seramai 12,420 atau 96 peratus pelajar telah mendaftar di kolej kediaman.

Pusat Komunikasi Korporat UKM dalam kenyataan berkata, baki kekosongan akan ditawarkan kepada 550 pelajar tahun 1 ambilan kedua bermula 25 hingga 31 Oktober 2022.

“Seperti mana diamalkan di semua Universiti Awam (UA), penginapan pelajar di kolej kediaman diberi keutamaan kepada pelajar tahun pertama dan baki kekosongan pula akan dibuka kepada pelajar senior.

“Berdasarkan rekod, hampir 90 peratus pelajar prasiswazah kini ditawarkan penginapan di dalam kampus,” katanya.

Pihak universiti juga akan melaksanakan proses naik taraf secara berperingkat terhadap Pangsapuri Taman Tenaga dan Kolej Idris Al-Marbawi yang usang atau rosak.

Keputusan itu dibuat hasil perbincangan dan lawatan bersama kepimpinan universiti dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM).

Bagi fasa satu, pengurusan tertinggi UKM bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.2 juta bagi membaik pulih unit rumah di Taman Tenaga menempatkan lebih 450 pelajar.

Fasa kedua melibatkan perancangan pembaikan Kolej Idris Al-Marbawi secara berperingkat.

Kedua-dua premis tersebut akan digabungkan menjadi satu identiti kolej baharu setelah proses baik pulih selesai.

UKM juga telah memperkenalkan sistem e-merit bagi memastikan ketelusan dalam pemilihan pelajar bagi penempatan di kolej kediaman.

Sistem itu akan mengambil kira data menyeluruh penglibatan dan pencapaian dalam aktiviti/program, akademik, B40, badan beruniform dan pelbagai input lain.

Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah menawarkan bantuan-bantuan kepada golongan pelajar B40 seperti bantuan Sara Hidup dan Bantuan Makanan berjumlah hampir RM900,000.

Menurutnya, UKM melalui HEP-UKM turut menyediakan bantuan pendidikan pelajar bagi menyokong keperluan pendidikan pelajar yang berjumlah RM200 setiap semester.

Keperihatinan UKM bukan sahaja merangkumi aspek pendidikan malah merangkumi aspek dan alatan kesihatan bagi membantu pelajar yang memerlukan sehingga RM15,000.

UKM dengan melalui Skim Tabung Kebajikan Pelajar juga turut menawarkan bantuan kebajikan, khairat kematian, bantuan bencana, bantuan perubatan dengan bantuan sehingga RM10,000 kepada pelajar yang terlibat.

Gerakan Mana Kolej Kami (GMKK) UKM ketika membuat sidang media hari ini.Sementara itu Gerakan Mana Kolej Kami (GMKK) UKM telah menyerahkan memorandum berhubung isu penempatan pelajar kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UKM Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil pagi tadi.

Koordinator GMKK Sharifah Umairah Syed Mustaffa berkata, kira-kira 2,000 pelajar tidak mendapat kolej kediaman.

“Kami memgharapkan sokongan semua pihak dalam memperjuangkan isu penempatan pelajar sehingga ia dijadikan agenda utama pihak pentadbiran dalam menjaga kebajikan pelajar.

“Hal ini selaras dengan salah satu daripada 15 ‘manifesto mahasiswa’ yang dituntut untuk diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.

GMKK juga berharap kolej kediaman yang usang dan rosak dapat dibaiki segera demi keselamatan pelajar.-MalaysiaGazette