Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Kenduri Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Trend berpindah-randah oleh calon pembangkang yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan mereka tidak cukup baik dalam memberi khidmat kepada rakyat selama ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, calon-calon yang berpindah tempat seperti tidak yakin dengan khidmat mereka di kawasan lama dan mahu menabur janji lain untuk mendapat pengaruh pengundi baharu.

Ini kerana, wakil rakyat lama tidak boleh membohongi pengundi sama apabila mereka tidak berkhidmat dengan baik dan tidak boleh menabur janji lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman calon oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam yang banyak mengemukakan calon yang berpindah kerusi.

Terdahulu beliau menghadiri Kenduri Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini yang dihadiri hampir 2,000 orang sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Mengulas mengenai calon PKR, Abas Awang yang akan bertanding di Parlimen Bera pada PRU15, Ismail Sabri berkata, sesiapa sahaja yang bertanding dan ia merupakan perkara biasa dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu telah memenangi kerusi Parlimen Bera sejak 2004 berkata, beliau tidak gentar untuk mempertahankan kerusi itu kerana telah memberi perkhidmatan yang baik kepada penduduk Bera.

“Saya bertanding di Bera sejak 2004, saya masih di Bera, kalau saya PM boleh mintak tempat lain tapi kalau saya tidak beri perkhidmatan di Bera selama ini, mesti saya takut nak kekal di tempat yang sama saya bertanding.

“Tapi saya tengok hampir semua calon UMNO stay di tempat yag sama sebab selama ini kita telah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kalau kita janji pun mereka (rakyat) akan yakin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast