Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mohammed Azman Aziz Mohammed

KUALA LUMPUR – Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa dalam aspek perlindungan keselamatan sosial pada Persidangan Agung Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) (ISSA) semasa Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2022 di Maghribi, baru-baru ini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan hari ini memaklumkan,  Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dipilih sebagai Presiden ISSA ke-17 untuk menerajui ISSA bagi tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2025.

Mohammed Azman menyifatkan pemilihan beliau sebagai kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan warga Perkeso bagi melonjakkan kedudukan negara di mata masyarakat antarabangsa.

“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli badan antarabangsa ISSA kepada saya untuk jawatan Presiden yang ke-17.

“Menerusi ISSA, saya akan terus memberikan komitmen yang terbaik untuk meningkatkan sistem perlindungan keselamatan sosial agar setiap ahli ISSA melaksanakan perlindungan yang komprehensif dan inklusif di negara masing-masing demi kesejahteraan sejagat,” katanya.

Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama memegang jawatan tertinggi tersebut dalam badan antarabangsa yang menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global.

Selain itu, Malaysia juga mendapat pengiktirafan di persidangan itu apabila Kuala Lumpur diterima sebagai tuan rumah bagi Persidangan Agung ISSA serta WSSF ketujuh yang bakal diadakan pada 2025.

Penganjuran persidangan kemuncak WSSF diadakan setiap tiga tahun mengumpulkan menteri, pegawai kanan, pengamal dan pakar dalam bidang keselamatan sosial dari negara-negara ahli bagi membahaskan isu semasa serta berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik.

Berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi serta inovasi dalam bidang keselamatan sosial, ISSA ditubuhkan pada 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland adalah pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial bernaung di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Persidangan Agung ISSA dan WSSF 2022 yang berlangsung 23 hingga 28 Okt lepas dan dihadiri 321 ahli daripada 161 negara serta menghimpunkan lebih 2,000 pengamal keselamatan sosial dianjurkan agensi keselamatan sosial Maghribi, CDG Prévoyance bertemakan ‘Keselamatan Sosial  Bagi Masyarakat Yang  Berdaya Tahan dan  Inklusif’. – BERNAMA