Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) pada 3 November ini.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, senarai calon itu dibuat oleh Majlis Tertinggi PN bagi menentukan calon yang bertanding di semua 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen di negeri ini.

“Senarai calon PN Pahang akan diumumkan selewat-lewatnya petang Khamis nanti. Sekarang ini jumlah kerusi sudah tahu cuma pengesahan terakhir akan dibuat oleh Majlis Tertinggi dan penguman itu akan dibuat di Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika sidang akhbar di Pejabat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan pembahagian kerusi membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan telah selesai selepas melalui empat kali  rundingan.

Difahamkan pada pengumuman itu juga diadakan sesi taklimat dan penyerahan watikah kepada calon yang akan mewakili parti bertanding pada PRU15. – MalaysiaGazette