Hasni menghadiri Majlis Penutup Bengkel Penerangan Puteri UMNO Johor di Ulu Tiram hari ini.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor hari ini mengesahkan tiada isu berbangkit mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi parti komponennya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, untuk itu tiada sebab untuk BN  melakukan perubahan pertukaran kerusi Parlimen antara parti komponen.

“Pembahagian kerusi tidak berbangkit di Johor maknanya MCA, MIC kekal dengan jumlah kerusi (seperti) dalam PRU14 (iaitu) lapan (kerusi) MCA dan satu (kerusi) MIC.

“Manakala kerusi yang sebelum ini ditandingi Gerakan di Simpang Renggam diletakkan untuk UMNO. Maka dalam masa terdekat ini calon akan dipanggil untuk mendapat penjelasan dengan kawasan yang ditandingi,” katanya.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan berlaku pertukaran kerusi susulan desas desus mengenai pertukaran kerusi antara parti-parti komponen di Ulu Tiram hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang akan bertanding di kerusi Parlimen, Hasni mengesahkan hanya dirinya sahaja yang akan bertanding.

“Setakat ini seorang ADUN sahaja (saya sahaja),” katanya yang juga ADUN Benut itu ringkas.

Sebelum ini Hasni  berkata, satu sesi pengenalan calon yang akan bertanding pada PRU-15 akan diadakan pada 3 November ini, sehari selepas pelancaran jentera BN Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast