kuasa politik Melayu Anwar Pejuang GTA
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Tuduhan segelintir pengikut Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba menyekat beliau daripada menjadi Perdana Menteri adalah meleset sama sekali.

Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendedahkan, Mahathir mencalonkan nama Anwar sebagai Perdana Menteri bersama tiga lagi calon dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Tetapi dalam pengundian tersebut Anwar tewas kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas mengenai reaksi negatif Anwar dan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terhadap kesediaan Dr. Mahathir bekerjasama dengan mereka bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Semalam, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang mengulangi kesediaannya malah sanggup merendahkan diri dan melupakan perbuatan ‘khianat’ Muhyiddin terhadapnya bagi membolehkan GTA dan PN bekerjasama.

Khairuddin yang juga Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan berkata, rakyat dapat melihat sendiri keangkuhan Anwar dan Muhyiddin yang menolak tawaran Mahathir itu.

“Sampai tahap mana kita mahu Dr. Mahathir merendahkan dirinya merayu secara jujur serta ikhlas bagi memenangkan pembangkang?” soalnya.

Beliau menambah, kini, tiada sesiapa pun yang boleh mentohmah dan mempersalahkan Dr. Mahathir lagi seandainya UMNO dan BN kembali berkuasa selepas PRU-15.

Khairuddin memberitahu, niat murni Dr. Mahathir telah dipamerkan secara terbaik mungkin demi untuk menyelamatkan Malaysia tetapi tokoh-tokoh pembangkang yang lain lebih merelakan diri mereka dibelenggu oleh sifat egoistik atau individualistik yang terlalu tinggi.

“Pembacaan politik Dr. Mahathir amat tepat pada kelazimannya tetapi Muhyiddin serta Anwar boleh ‘tepuk dada tanya selera’,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast