MELAKA – Perikatan Nasional (PN) perlu mengutamakan faktor merit berbanding hierarki seorang individu dalam menentukan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika mahu parti itu dipilih rakyat.
Timbalan Ketua Penerangan PN Melaka, Datuk Dr. Baba Md Deni berkata, hanya melalui calon berkualiti berbanding pangkat atau kedudukan tinggi dalam parti sahaja mampu menjadikan PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan terus kekal relevan.
Suasana politik baharu hari ini menyaksikan rakyat semakin bijak menilai kemampuan seseorang calon sebagai wakil rakyat dan bukan wakil kepada segelintir pucuk pimpinan parti semata-mata, katanya.
“Kalau kita lihat, negara lain dah tak ikut corak politik pilih pemimpin mengikut hierarki parti sebab itu ada sampai lima hingga enam orang perdana menteri di dunia ini wanita dan umur mereka pula cukup muda.
“Sebabnya mereka melihat tahap pendidikan, merit individu yang diangkat sebagai ketua itu bukannya jawatan atau hierarki parti sebab itulah yang akan ‘membunuh’ parti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Baba yang juga Ketua Penerangan Bersatu Melaka berkata, rakyat hari ini sudah muak dan bosan dengan pemilihan calon yang tidak mempunyai kelayakan untuk memenangi hati pengundi.
“Kalau kita lihat, mungkin dalam struktur parti itu ada ahli yang lebih dekat kepada rakyat termasuklah mereka yang sudah lama terlibat dalam aktiviti sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Ada ahli yang mempunyai merit tinggi tapi tak dipilih dan itu amat merugikan parti kerana ia akan mengakibatkan penolakan dalaman parti yang akhirnya menyebabkan berlaku perpecahan parti kepada ‘kem-kem’ tertentu,” katanya yang aktif menawarkan rawatan kesihatan secara percuma di Jasin selama hampir 26 tahun sejak 1988.
Dr Baba yang aktif sebagai sukarelawan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) berkata, pucuk pimpinan parti harus memilih calon yang mempunyai sokongan penguundi dan ahli peringkat akar umbi.
Antara cabaran terbesar jelasnya yang sudah berkhidmat selama lebih 30 tahun dalam kalangan masyarakat di Jasin adalah untuk memenangi sokongan 60 peratus pengundi muda berusia bawah 40 tahun.
“Anak-anak muda sekarang ini mereka sudah tidak lihat lagi warna kulit calon tapi menilai apakah yang dapat ditawarkan kepada mereka.
“Sebab itu, jika mahu cari calon pemimpin, cari mereka yang sudah berpuluh tahun membina jaringan pengaruh besar dengan segenap lapisan masyarakat dan bukanlah bergantung pada calon muda semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette