PASIR MAS – Pergerakan Wira Putra mengingatkan DAP supaya menghentikan mainan sentimen mereka dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dengan berpura-pura kononnya parti itu menjaga Melayu.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu hanya sekadar retorik politik untuk mengelirukan orang Melayu.
Beliau berkata, hakikatnya DAP tetap anti Melayu dan anti Islam, walaupun calon Melayu yang mewakili parti itu bertambah dua hingga tiga orang sahaja.
“Rakyat harus bijak memilih Melayu kategori apa hendak diundi pada 19 November ini. Melayu berwibawa bersifat nasionalis atau Melayu yang mengikut telunjuk pihak tertentu sehingga ICERD hampir diratifikasikan ketika DAP bersama kerajaan sebelum ini.
“Tindak tanduk pemimpin DAP sehingga hari ini tidak akan berubah selagi mana parti yang dikatakan berbilang kaum ini mempunyai sejumlah kecil sahaja pemimpin Melayu.
“Sebab itu, kita lihat parti ini kerap kali menyokong tindakan pihak tertentu menghina Islam, mempertikai hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi serta bersifat perkauman,” katanya dalam ucapan pertemuan bersama jentera pilihan raya Putra di Parlimen Pasir Mas, malam tadi.
Menurut Nashrul, hari ini sudah ramai orang Melayu cerdik pandai dan tidak mudah diperdaya sewenang-wenangnya terutama oleh DAP.
Beliau juga turut menyeru orang Melayu segera sedar dan memilih calon dari kaum dan bangsa sendiri yang berwibawa serta berpegang teguh sebagai pejuang agama, bangsa dan negara sebagai pemimpin.
“Rosaknya negara apabila pemimpin yang dipilih adalah dari kalangan kumpulan yang bukan ingin mewakili suara rakyat dan membangun ekonomi rakyat, tetapi penuh agenda serta tipu muslihat untuk menjaga kepentingan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette