IPOH – Ahli Bersatu tidak wajar membuat ugutan keluar parti sekiranya tidak dicalonkan bagi kerusi tertentu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu berkata, ahli parti perlu mengikut keputusan dan menyokong calon yang diperkenalkan bagi memastikan kejayaan dan kemenangan pada PRU15.
“Kalau ada kalangan pemimpin yang sanggup meninggalkan parti sekiranya tidak dicalonkan serta menjadi calon Bebas, jelas pemimpin itu berjuang untuk diri sendiri tetapi bukan parti yang diwakilinya,” kata Menteri Belia dan Sukan itu ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Perak Youth Centre (PYC) Tambun di sini hari ini.
Penyandang Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi kononnya penyandang Parlimen Bagan Serai dari Bersatu, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali telah memberi bayangan akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi itu sekiranya dia tidak dicalonkan oleh PN pada PRU15.
“Beliau (Dr Noor Azmi) tidak pernah menyatakan perkara itu kepada saya sendiri secara peribadi tetapi pada saya mana-mana ahli parti tidak sewajarnya membuat ugutan kepada parti,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata agihan kerusi antara parti dalam PN telah dimuktamadkan dan sebarang perubahan atau perkara berkenaan keputusan calon yang dipilih bagi kawasan tertentu perlu dibuat di peringkat tertinggi iaitu presiden parti masing-masing.
“Ia akan diumumkan dalam masa terdekat. Kalau boleh hendak umum pada hari ini supaya tiada lagi spekulasi tetapi tunggu arahan parti untuk mengadakan pengumuman pada masa sesuai,” katanya. – BERNAMA