Presiden PBM
Larry Sng dan Zuraida kini masing-masing mengakui Presiden PBM.

KETIKA hari penamaan calon semakin menghampiri dan kebanyakan parti politik sudah menempatkan calon masing-masing, tetapi Parti Bangsa Malaysia (PBM), parti paling bongsu dalam politik Malaysia masih bertelagah sesama sendiri.

Sehingga kini, perpecahan semakin serius, apabila wujud dua watak utama dalam PBM yang masing-masing mengaku sebagai presiden yang sah dan mengikut perlembagaan.

Kalau mengikut perlembagaan dan rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), nama Datuk Larry Sng Wei Shien adalah presiden asal parti itu yang diwarisi daripada bapanya, Sng Chee Hua sejak 2013.

Namun, parti yang dilahirkan di Sarawak itu mula mendapat nama di Semenanjung selepas beberapa Ahli Parlimen (bekas) dari PKR yang menyertai ‘Langkah Sheraton’ menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020 mahu tinggalkan parti Bersatu.

Untuk meneruskan kesinambungan dalam politik, sekumpulan bekas pemimpin PKR ini termasuk Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai PBM dan mahu membawa parti itu seiring dengan parti politik yang ada di negara ini.

Penyertaan Zuraida kemudian disambut baik oleh Larry Sng dan barisan kepimpinan parti waktu itu kerana sekurang-kurangnya PBM dapat melebarkan sayapnya di Semenanjung, selain menjadi teras di Sarawak.

Namun, lain yang diharap, lain pula yang berlaku, apabila tiba-tiba timbul persengketaan di peringkat dalaman, yang mana kumpulan bekas PKR mahu mengangkat Zuraida sebagai presiden menggantikan Larry Sng.

Bagaimanapun, cara kumpulan bekas PKR itu mengambil alih jawatan nombor satu yang dipegang oleh Larry Sng dibuat secara tidak teratur dan tersusun.

Sungguhpun benar Larry Sng ada menyatakan akan menyerahkan jawatan presiden kepada Zuraida, tetapi proses penyerahan itu akan dilakukan secara tertib, mengikut peraturan dan perlembagaan parti.

Tetapi, kumpulan bekas PKR ini dilihat seperti tidak sabar dengan Larry Sng yang bergerak perlahan seperti sloth, sedangkan tempoh PRU15 sudah tidak lama lagi dan parti perlu bergerak aktif dalam masa yang singkat untuk menarik sokongan rakyat.

Justeru itu, kumpulan bekas PKR ini menerusi Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi parti pada 7 Oktober lalu untuk memilih Zuraida sebagai presiden.

Dalam mesyuarat yang tidak dihadiri Larry Sng itu mendakwa majoriti Ahli Majlis Tertinggi parti bersetuju menggantikan jawatan yang dipegang Ahli parlimen Julau itu kepada Zuraida.

Tarikh 7 Oktober 2022 adalah hari pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat.

Larry Sng pula berada di Sarawak untuk mengikuti pembentangan bajet itu dan sudah tentu tidak dapat hadir. Tambahan pula, tarikh mesyuarat itu tidak dipersetujuinya.

Serentak itu juga, beliau menggunakan kuasanya sebagai Presiden, menggantung tugasan Nor Hizwan dan Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid atas alasan tidak mematuhi arahan presiden.

Malah, pada 28 Oktober di Bilik Gerakan Utama PBM di ibu kota, kumpulan bekas PKR yang diketuai Nor Hizwan telah mengadakan sidang media khas untuk menjelaskan kedudukannya dan Zakaria dalam parti.

Katanya, Larry Sng tidak berhak menggantungnya kerana Ahli Parlimen Julau itu bukan lagi presiden selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 7 Oktober 2022 memutuskan Zuraida sebagai presiden yang sah.

Larry Sng pula dalam responsnya menyifatkan mesyuarat pada 7 Oktober itu sebagai tidak sah, kerana melanggar Fasal 21 (i) iaitu Majlis Tertinggi PBM hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan atau apabila diarah oleh Presiden…

Tetapi respons Larry Sng itu disanggah oleh Nor Hizwan yang mendakwa mesyuarat 7 Oktober juga dijalankan mengikut Fasal 21 (i) iaitu… atau atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada ahli-ahli Majlis Tertinggi.

Nor Hizwan mendakwa, mesyuarat itu dihadiri oleh separuh daripada jumlah ahli-ahli majlis itu.

Dengan itu, katanya, pelantikan Zuraida sebagai presiden pada hari itu adalah secara rasmi dan mengikut perlembagaan parti. Serentak itu, juga dakwanya, Larry Sng adalah mantan presiden.

Bagaimanapun, dalam kenyataan terbaharu Larry Sng, satu tindakan tegas dan keras daripanya apabila menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu termasuk ‘presiden’nya Zuraida kerana didakwa melanggar disiplin parti.

Penggantungan berkuatkuasa serta-merta itu turut melibatkan Haniza Mohamad Taha, Dr. Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr. G. Sathiskumar, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage dan Abdul Aziz Abdul Kadir.

Turut digantung, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Larry Sng berkata, tindakan itu dibuat berhubung penglibatan berterusan kumpulan berkenaan yang menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya.

“Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum.

“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Serentak itu juga, Larry memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini (30 Oktober 2022) di Sarikei, Sarawak, jam 4 petang memandangkan perkara itu amat mendesak untuk membincang dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

Namun, kumpulan Zuraida pula akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 3 November ini di Kuala Lumpur.

Setakat ini, bukan sahaja rakyat, media pun turut keliru dengan kemelut politik PBM. – MalaysiaGazette