KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) Kelantan memperuntukkan sembilan kerusi kepada PAS dan lima kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Perhubungan PN Kelantan Wan Roslan Wan Hamat.
Beliau berkata pengumuman calon yang bakal bertanding itu akan dibuat pada Rabu ini (2 Nov) oleh Pengerusi PN Kelantan, merangkap Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Katanya, kesemua calon PN yang akan bertanding di 14 kerusi Parlimen Kelantan, akan menggunakan logo PAS seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Kesemua calon PAS telah ditapis oleh Majlis Syura Ulama dan (demikian juga) calon Bersatu seperti diumumkan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassan sebelum ini,” katanya pada sidang media khas tarikh pengumuman Majlis Pengisytiharan Calon PN Kelantan, di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan kekal mempertahankan kerusi masing-masing, Wan Roslan berkata, keputusan mengenai perkara itu belum dimuktamadkan.
“Keputusan calon yang akan bertanding akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. Kerjasama antara PAS dan Bersatu juga cukup mantap, kita akan mengatur gerak kerja sebaik selepas penamaan calon.
“Semua kerusi insya-Allah PAS letak jentera yang akan bekerja dengan keras walaupun kerusi selesa, apatah lagi yang tidak selesa,” katanya.
Pada PRU14, Tuan Ibrahim menang di kerusi Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti 19,369 undi manakala Takiyuddin memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu dengan memperoleh majoriti 5,869 undi.
Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata gabungan itu menyasarkan untuk menyapu bersih semua kerusi Parlimen termasuk Parlimen Jeli, menerusi kerjasama antara semua parti dalam PN Kelantan. – BERNAMA