Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Datuk Phalrolrazi Mohd Zawawi telah melakukan sesuatu yang melampau dan perlu digagalkan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, tindakan Phalrolrazi yang berusaha memboikot calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Jerai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah sesuatu yang boleh mengakibatkan PH kalah.

“Dia melampaui batas dan kita terpaksa mengambil tindakan disiplin untuk menentukan bahawa usahanya untuk PRU diboikot oleh pimpinan Amanah negeri Kedah, usahanya akan digagalkan.

“Dalam Amanah mempunyai pandangan yang berbeza dan tidak merupakan masalah tetapi apabila menghasut untuk tidak bekerja untuk PRU, dan boikot PRU maka ini bukan sahaja menjejaskan kepentingan parti tetapi juga PH secara keseluruhannya.

“Ia seolah-olah nak serahkan negeri Kedah kepada pihak lawan,” katanya dalam sidang media pengumuman 54 calon Parlimen parti itu, hari ini.

Awal hari ini, Jawatankuasa Pengurusan Nasional Amanah memecat keahlian Phalrolrazi berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan itu dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(B) kerana Phalrolrazi didapati telah melanggar Perlembagaan parti.

Dalam pada itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, Phalrolrazi boleh mengemukakan rayuan terhadap tindakan pemecatan itu.

“Tindakan disiplin adalah perkara biasa dalam mana-mana parti, seseorang yang diambil tindakan disiplin kadang kala boleh kembali untuk berada dalam parti dan lebih baik pada masa akan datang,” kata Mat Sabu.

Phalrolrazi didakwa akan memboikot calon PH bagi Parlimen Jerai pada PRU15.

Tindakan itu dikatakan bagi menzahirkan rasa ketidakadilan berhubung agihan kerusi yang ditandingi. – MalaysiaGazette