Kamarulzaman Ahmad (kiri).

GEORGE TOWN – Sebanyak 22 Pusat Daerah Mengundi (PDM) cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Balik Pulau menolak calon luar bertanding di kawasan Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini susulan ahli Bersatu Bahagian itu mahukan calon tempatan yang berkaliber menang serta dikenali penduduk kawasan berkenaan diketengahkan pada PRU15.

Ketua Penerangan Bersatu Balik Pulau, Kamarulzaman Ahmad berkata, kesemua PDM dan jentera pilihan raya Parlimen berkenaan akan ditutup sekiranya pucuk pimpinan parti masih mahu menempatkan calon luar.

“Kita bukan ingkar arahan parti tapi kita mahu berikan kemenangan buat Perikatan Nasional (PN) sebab itu kita minta parti letak calon tempatan yang boleh menang.

“Tindakan pucuk pimpinan meletakkan calon bidan terjun secara tidak langsung memberi peluang kepada parti politik lain untuk menang mudah.

“Lebih sedih apabila pencalonan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan Ketua Bahagian Bersatu Balik Pulau yang juga ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut Kamarulzaman berkata, kesemua akar umbi serta ahli Bersatu Balik Pulau menyokong penuh Zolkifly dipilih sebagai calon mewakili parti itu bagi Parlimen Balik Pulau.

“Beliau (Zolkifly) buat gerak kerja pilihan raya di sini sejak beberapa tahun lalu dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dirinya menawan pengundi Cina dan pengikut parti PKR serta UMNO yang sudah lama menapak di Parlimen tersebut.

“Jadi kita harap satu perbincangan dibuat berhubung calon PN Balik Pulau sebelum keputusan rasmi mengenainya diumum Tan Sri Muhyiddin Yasin esok,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Bekas Pegawai Khas Zuraida calon Bersatu Parlimen Balik Pulau?

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan bekas Pegawai Khas, Datuk Zuraida Kamaruddin, Muhammad Harris Idaham Rashid dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Balik Pulau.

Pencalonan Exco Armada Bersatu Nasional itu menyebabkan timbul pergolakan antara Bersatu Pusat dengan Bersatu Bahagian Balik Pulau. – MalaysiaGazette