KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga buah kereta mewah bernilai RM940,000 milik pelanggan di sebuah bengkel lesap selepas dipecah masuk dalam satu kejadian kecurian yang berlaku di Jalan Damansara, Kampung Bukit Lanjan di sini pada 29 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan lebih kurang pukul 10.39 pagi.
“Pengadu warga tempatan dalam laporan polis itu mendakwa bahawa tiga buah kenderaan mewah milik pelanggan yang baru selesai dibaiki di bengkel keretanya didapati telah hilang disyaki dicuri.
“Siasatan awal polis mendapati pengadu telah menemui kesan pecah pada mangga pintu masuk dan beberapa kunci kereta turut didapati hilang di dalam premisnya.
“Kenderaan yang dilarikan penjenayah adalah sebuah Mercedes Benz E200K warna perak, sebuah Toyota Land Cruiser warna putih dan sebuah Nissan GTR Prestige dengan nilai kerugiannya dianggarkan bernilai RM940,000,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Tambah Amihizam lagi, siasatan lanjut polis juga mendapati suspek telah masuk bengkel berkenaan dengan cara memecahkan mangga di pintu masuk utama bengkel tersebut.
Menurutnya, semakan polis terhadap video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dijalankan untuk mengenal pasti suspek kejadian tersebut.
“Polis juga telah memperhebatkan usaha untuk mengesan penjenayah yang terlibat melakukan kegiatan melarikan kenderaan mewah itu.
“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395A Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang melihat insiden itu atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan digesa agar memberi kerjasama dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau tampil ke mana-mana balai berdekatan.-MalaysiaGazette