Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang
Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Tasek Gelugor sedia untuk memberi laluan kepada Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk bertanding di kawasan itu.

Ketua Bahagiannya, Azmi Alang berkata, kesediaan bahagian itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Oktober lalu susulan laporan media mengenai kemungkinan Wan Saiful bertanding di situ.

“Dalam perbincangan tersebut, Tuan Azmi Alang menyatakan bahawa Bersatu Tasek Gelugor menyokong penuh cadangan untuk menamakan Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, selaku calon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, nama Wan Saiful disebut-sebut untuk dicalonkan di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU15, 19 November depan.

Bagaimanapun menurut sumber MalaysiaGazette, nama Wan Saiful telah digantikan dengan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pulau Pinang, Zulkifli Bakar.

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon UMNO, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti tipis sebanyak 81 undi.

Bagaimanapun, Shabudin yang menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor selama dua penggal sejak PRU13 atas tiket UMNO mengumumkan keluar daripada parti itu pada 14 Disember 2018 sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Azmi berkata, sebelum ini Bersatu Tasek Gelugor mencalonkan beliau namun bersedia untuk memberi laluan kepada Wan Saiful.

“Kami bersedia memberi laluan dan menyokong Datuk Wan Saiful untuk membuka ruang bagi tokoh muda peringkat nasional yang berpotensi menjadi Menteri Kabinet untuk membawa kemakmuran kepada semua rakyat Tasek Gelugor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast