KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) seolah-olah tiada hala tuju yang jelas selepas daripada Barisan Nasional (BN).
Ini kerana semasa bersama BN, Gerakan tidak pernah bertanding kerusi Parlimen di Kedah malah parti itu dilihat serba tidak kena dalam membuat keputusan tidak bertanding selepas ditawarkan kerusi, kata Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Katanya, walaupun Gerakan adalah komponen yang berada dalam Perikatan Nasional (PN) namun untuk hanya menghantar calon daripada Pas dan Bersatu bertanding di 15 kerusi Parlimen di Kedah menunjukan gabungan itu tidak menterjemah kepentingan kepelbagaian kaum di negeri itu dan suara pengundi Cina serta India diketepikan.
“Adakah parti berkenaan yang merupakan parti pelbagai kaum sudah meninggalkan perjuangan membela seluruh masyarakat secara sama rata.
“Bagaimana mereka hendak memperjuang kepentingan kaum India, Cina sekiranya mereka tidak mempunyai calon di Kedah.
“Adakah parti berkenaan tidak mempunyai calon yang boleh menang atau adakah Gerakan Kedah mempunyai krisis dengan kepimpinan PN di nehgeri itu sehinggakan dipinggirkan parti lain dalam gabungan PN,” katanya yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah menerusi kenyataan hari ini.
Syed Mohd Johan berkata, tindakan Gerakan tidak meletakkan calon itu juga menimbulkan beberapa persoalan tentang perjuangan parti tersebut.
Tambah beliau, memang janggal apabila sebuah parti politik tidak mahu bertanding pada pilihan raya walaupun ditawarkan beberapa kerusi.
“Difahamkan juga ahli Gerakan di Kedah keliru dengan keputusan parti yang seolah takut berjuang serta mereka mempersoalkan, siapakah orang atasan parti yang membuat keputusan tidak mahu bertanding,” katanya. – MalaysiaGazette