Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya bercakap kepada media ketika hadir pada Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ negeri Selangor di Dewan Melati, Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran agar semua penunggang motosikal mematuhi peraturan jalan raya ketika berkempen termasuk memakai topi keledar.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, aktiviti berkonvoi melibatkan motosikal yang menjadi kelaziman menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dipantau menerusi pelbagai saringan.

“Jika tak pakai topi keledar, sudah tentu salah dan tak pernah kita benarkan. Tapi untuk konvoi, ada dua pihak yang akan buat pengawasan iaitu kita (JPJ) dan PDRM,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Khairul, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar senarai nama peserta yang menyertai program tersebut untuk JPJ membuat saringan.

“JPJ akan buat saringan agar semua yang menyertai ada kelayakan untuk memandu dan kita juga buat pemeriksaan kenderaan sebelum kita beri keizinan,” ujarnya.

Khairul berkata, penegasan tersebut tidak hanya kepada penunggang motosikal semata-mata malah melibatkan kesemua pengguna jalan raya.

Jelasnya, pemantauan itu akan dilakukan mengikut prosedur sedia ada termasuk menggunakan kaedah baharu melalui kamera aksi pengawasan bagi merakam kesalahan pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast