Seorang lelaki dipukul hingga berdarah dikepala kerana keluarkan kata kesat dalam kejadian di sebuah restoran di Ampang minggu lalu. Ihsan Polis IPD Ampang Jaya.

AMPANG – Kerana mulut badan binasa.

Tindakan seorang lelaki yang memaki hamun pelanggan dengan kata-kata kesat akibat perselisihan faham di sebuah restoran di Ampang Mewah di sini berakhir kejadian tidak diingini apabila cedera dibelasah suspek dengan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 24 Oktober lalu semasa mangsa dan isterinya datang ke restoran itu untuk minum.

Bagaimanapun berlaku perselisihan faham dengan suspek sebelum mangsa mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan pelanggan restoran itu bengang dan terus memukul mangsa menggunakan topi keledar.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tangan sebelum menerima rawatan di Hospital Ampang sebelum isterinya tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang.

“Bertindak atas aduan dan maklumat mendatangkan kecederaan di sebuah restoran di Ampang Mewah terbabit, polis kemudian menahan suspek lelaki yang berusia 22 tahun itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika disabitkan dengan kesalahan.- MalaysiaGazette