KUALA LUMPUR – MIC dikatakan akan menyerahkan kerusi Parlimen Sungai Buloh yang menjadi kawasan tradisi parti itu kepada UMNO walaupun telah bekerja lebih dua tahun di kawasan berkenaan.

Khabarnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mewakil Barisan Nasional bertanding di Sungai Buloh pada PRU15 ini.

Justeru sebagai balasan MIC berkemungkinan besar akan bertanding di Parlimen Batu.

Menurut sumber tertinggi, MIC akan mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan, Datuk Rajah Symon bagi kawasan Batu.

“Mungkin sehari dua lagi anda akan tahu secara rasmi. Saya difahamkan antara calon MIC yang akan dipertaruhkan ialah Datuk Simon Rajah di Batu. Beliau dikatakan antara calon terbaik untuk menentang calon PKR, P. Prabakaran.

“Sebenarnya Parlimen Sungai Buloh ini juga adalah laluan sukar untuk Khairy memandangkan ini kubu kuat PKR dan Pakatan Harapan, pengundi sini masih lagi lebih condong ke sana. Calon yang diletakkan untuk bertanding walaupun bukan R. Sivarasa lagi tetapi Datuk R. Ramanan juga bukanlah muka baharu.

“Namun BN dan Khairy mungkin akan menggunakan popularitinya sebagai Menteri Kesihatan untuk cuba memenangi hati pengundi Sungai Buloh terutamanya kejayaan beliau tangani pandemik Covid-19,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kerusi Sungai Buloh diwujudkan selepas persempadanan semula pada 2018 daripada kerusi Subang dan Kuala Selangor, Sivarasa (PKR) menang dengan majoriti 26,634 undi menewaskan calon Pas dan MIC, Prakash Rao Applanaidoo yang menduduki tempat ketiga dengan 16,681 undi.

MIC secara tradisi melihat Sungai Buloh sebagai kerusi tradisi kaum India tetapi demografi Parlimen tersebut menunjukkan bukan Melayu adalah lebih 35 peratus manakala Melayu sebanyak 65 peratus.

Andai 35 peratus bukan Melayu tersebut kekal dengan Pakatan Harapan (PH) dan 20 peratus Melayu memilih PH sememangnya satu laluan sukar buat BN.

Dalam pada itu, sumber turut mendedahkan kemungkinan MIC juga sedang berkira-kira untuk bertanding di Parlimen Puchong pilihan raya kali ini namun ianya masih samar-samar lagi.

“UMNO juga hendak kerusi Parlimen Puchong. MIC telah mencalonkan Ketua MIC Bahagian Puchong, B. Awtar Singh yang terkenal dengan kelantangannya dalam media sosial tetapi perkara itu akan diputuskan juga, apa pun esok anda akan tahu,” ujarnya. – MalaysiaGazette