MELAKA – Pemimpin akar umbi Pas kesal terhadap dakwaan wujudnya cubaan untuk memboikot kempen calon mereka di Parlimen Tangga Batu oleh sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) sendiri.
Ketua Cawangan Pas Kampung Gelam Kawasan Tangga Batu, Datuk Muhammad Rajab Akmal Abdul Halim terkejut apabila diberitahu ada segelintir ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba bertindak demikian hanya kerana tidak berpuas hati apabila calon mereka tidak diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Menurutnya, isu berkenaan tidak sepatutnya timbul di saat Pas, Bersatu dan Gerakan sebagai rakan sekutu dalam PN sedang memperkukuhkan kekuatan jentera parti masing-masing menjelang penamaan calon 5 November ini.
“Sepatutnya, isu boikot kempen calon ini tidak timbul kerana sebagai PN kita perlu berjiwa besar dan akur apa sahaja yang diputuskan oleh pucuk pimpinan
“Tak perlulah hanya kerana orang itu sudah buat kerja enam tahun, dah tonjolkan diri sebagai calon tapi tak tercalon dan (penyokong) sanggup ambil tindakan drastik boikot kempen,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Artikel berkaitan: Mohd Rafiq umum letak jawatan Naib Presiden Bersatu esok?
Kecewa tidak tercalon, Mohd Rafiq keluar Bersatu, letak semua jawatan
Tindakan Rafiq keluar Bersatu bersifat peribadi – Dr Yadzil
Semalam, Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dalam satu sidang media tergempar yang turut disertai puluhan penyokongnya mengumumkan keluar parti, sekali gus melepaskan semua jawatannya berkuatkuasa serta merta.
Tindakan bekas Pengerusi PN Melaka itu berpunca apabila namanya digugurkan daripada calon Parlimen Tangga Batu walaupun pada peringkal awal telah dijanjikan bertanding di kerusi berkenaan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.
Susulan itu, timbul desas desus mendakwa berlaku cubaan boikot kempen di peringkat jentera akar umbi Bersatu Tangga Batu yang tidak berpuas hati apabila kerusi disandang PKR itu diserahkan kepada calon Pas, yang belum diumumkan secara rasmi.
Bagaimanapun, antara nama yang disebut-sebut sebagai calon adalah Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November tahun lalu.
Mengulas lanjut Muhammad Rajab berkata, dalam keadaan PRU yang semakin hampir, jentera akar umbi PN sepatutnya fokus terhadap matlamat utama untuk menumbangkan musuh utama, Pakatan Harapan (PH).
“Tapi kalau kita masih cakap lagi berkenaan ada kawan-kawan yang tak setuju dalam beberapa perkara, itu tidak akan selesaikan masalah sebaliknya pertelingkahan inilah yang akan menguntungkan PH.
“Janganlah kita ulangi lagi krisis-krisis yang dahulu berlaku dalam Muafakat Nasional (MN) membawa rentetan itu berlaku pula dalam PN yang akan merugikan kita,” katanya. – MalaysiaGazette.