Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini, Perikatan Nasional (PN) didakwa masih belum memuktamadkan parti mana yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, ada calon lain yang dikemukakan PN bagi menggantikan Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan di kerusi berkenaan.

“Walaupun Wan Saiful kelihatan telah mula bergerak di Tasek Gelugor tetapi perbincangan terkini ialah PN memerlukan beliau membantu calon-calon di kawasan-kawasan tumpuan boleh menang puluhan kerusi Parlimen.

“Ini kerana semasa PRN Melaka dan Johor, Wan Saiful mengepalai jentera kempen seluruh negeri dan kebolehan beliau diperlukan untuk lokasi tumpuan seluruh negara dalam PRU15 ini,” demikian menurut sumber berkenaan.

Sebelum ini, Wan Saiful dikhabarkan akan mencuba nasib bertanding di Parlimen Tasek Gelugor sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) ini.

Langkah itu untuk mempertahankan kerusi itu yang dimenangi ketika parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu.

Dalam pada itu, PN didakwa telah mengemukakan nama lain bagi menggantikan Wan Saiful.

“Calon pengganti yang disebut sebut ialah Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pulau Pinang, Zulkifli Bakar,” kata sumber itu lagi.

Wan Saiful juga difahamkan telah kembali ke ibu kota bagi membincangkan peranan beliau dalam PN dan gabungan parti itu dijadualkan akan mengumumkan senarai calon mereka esok.

Mengikut jemputan media yang diberikan, PN dijadualkan akan membuat pengumumkan itu di Pusat Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia pukul 8 malam. – MalaysiaGazette