Bakal calon Pakatan Harapan P.124 Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penduduk pada Program Ziarah E-Kasih di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau dan anaknya, Nurul Izzah Anwar sekali lagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan kerana amalan nepotisme oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, untuk keadilan bagi semua rakyat Malaysia.

Wan Azizah yang dicalon di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak menegaskan, sebelum menyertai politik beliau mempunyai karier masing-masing.

”Saya…Nurul Izzah…kami tak ada dalam politik pun pada awalnya kerana ada karier masing-masing.

“Tapi kita terpaksa terjun dalam politik apabila Izzah ketika umur 18 selepas bapanya dipecat, apabila ini berlaku, saya ambil (pimpinan) parti (PKR) untuk kita ‘champion’ keadilan… bukan kerana Anwar Ibrahim semata-mata.

”Anwar suami saya dan bapanya (Izzah), memang keluarga saya, tapi juga dalam erti kata lain, keadilan ini untuk semua rakyat Malaysia,” katanya lagi tanpa mengulas lanjut.

Beliau menjawab tuduhan pelbagai pihak bahawa Anwar masih mengekalkan keluarganya untuk bertanding pada PRU15 dan melepaskan penyandang-penyandang lain yang ada peluang cerah.

Tindakan Anwar memilih isteri dan anak perempuannya turut ditempelak oleh Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa Anwar mengamalkan nepotisme.

Terdahulu, Wan Azizah telah menziarah empat keluarga di Perumahan Awam Sri Kota di Parlimen Bandar Tun Razak hari ini.

Katanya, walaupun beliau baru berkesempatan mendekati penduduk di kawasan tersebut, beliau percaya pengundi di kawasan ini akan memilihnya pada PRU15 nanti.

“Saya tak datang untuk hulurkan bantuan di sini.. hanya menziarah mereka dan doakan kesejahteraan.. tak salahkan, doa tak apa kan..tak jadikan rasuah kan. Insya Allah,” katanya. – MalaysiaGazette