Gambar Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) yang menunjukkan Kon Yeow positif Covid-19 dimuat naik di Facebook rasmi beliau.

GEORGE TOWN – Berbaki empat hari lagi proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow kini disahkan positif Covid-19.

Penyandang kerusi Parlimen Tanjong itu berkata, beliau hanya mengetahui keputusan tersebut selepas melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 hari ini.

Beliau turut kongsikan gambar Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) yang menunjukkan keputusan positif dalam hantaran sama.

“Menjalankan ujian saringan kendiri Covid-19 pada pagi ini. Telah memperoleh panduan serta nasihat daripada pasukan kesihatan dan diberikan ubat-ubatan bersesuaian.

“Saya mendoakan semua berada dalam kesihatan yang baik dan seboleh-bolehnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan diri, keluarga serta komuniti kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Kon Yeow sebelum ini diumumkan sebagai calon bagi Parlimen Batu Kawan mewakili PH pada PRU15. – MalaysiaGazette