Artikel ini ditulis oleh pembaca MalaysiaGazette
TUN Dr Mahathir Mohamad yakin kehadiran Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dalam gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) akan membantu kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak. Mahathir melontarkan keyakinan itu selepas melihat bilangan anggota Iman yang besar di seluruh negara dan komuniti India Muslim mahu suara mereka didengari di peringkat kebangsaan.
Kenyataan Mahathir itu sememangnya mencetuskan polemik kerana Mahathir tidak langsung menyebut mampu menarik golongan Melayu mengundi untuknya. Meskipun gabungan itu terdiri daripada golongan Melayu namun Mahathir seolah-olah tidak yakin dengan kemampuan sendiri untuk menarik pengundi Melayu.
Mahathir berulang kali memainkan sentimen Melayu adalah ‘pemalas’ selama bertahun-tahun lamanya. Sentimen itu bukan sahaja mencetuskan impak negatif dalam kalangan orang Melayu malahan wujud ‘sifat dendam’ terhadap Mahathir. Tiada siapa yang mahu dipanggil ‘pemalas’ .
Golongan Melayu di negara ini sebenarnya sudah lebih maju. Lihatlah ekonomi gig didominasi oleh siapa? Rata-ratanya anak Melayu. Angkasawan pertama Malaysia juga adalah orang Melayu, malahan beliau menjadi contoh kepada angkasawan Islam lain dalam mengerjakan solat di angkasa. Jika orang Melayu pemalas seperti didakwa oleh Mahathir, sudah tentu tiada angkasawan Melayu mampu ke angkasa.
Maka, bagaimana Mahathir boleh mengatakan Melayu adalah pemalas? Apakah Mahathir turun padang melihat sendiri pengorbanan komuniti Melayu di negara ini? Berdasarkan fakta apa, Mahathir sewenang-wenangnya mengatakan Melayu adalah pemalas?
Skeptisisme orang Melayu terhadap Mahathir dalam menyatupadukan orang Melayu, menebal ketika ini. Ramai mengetahui Mahathir sering kali bergaduh dengan pemimpin Melayu. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara mereka yang pernah bergaduh dengan Mahathir.
Impak pergaduhan itu menyebabkan parti Melayu berpecah dan masing-masing menubuhkan parti sendiri. Situasi berkenaan tidak sihat dalam aspek perpaduan orang Melayu di negara ini. Ada sokong Anwar, ada sokong Najib, ada sokong Mahathir. Ringkasnya, Mahathir ‘berjaya’ memecahbelahkan orang Melayu dan suara orang Melayu kian lemah di peringkat kebangsaan.
Orang Melayu sudah serik dengan Mahathir. Pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan dasar ekonomi Mahathir yang memihat golongan elit merupakan pencetus kepada penolakan orang Melayu terhadap Mahathir. Manfaat Bumiputera banyak ditarik ketika zaman Pakatan Harapan dan tidak mustahil perkara sama boleh berulang.
Dasar ekonomi Mahathir yang meminggirkan orang Melayu sejak sekian lama dan memberi kekayaan kepada taikun-taikun di negara ini, mencetuskan kemarahan orang Melayu. Perbandingan Mahathir antara anak-anaknya dengan orang Melayu lain di negara ini menjelikkan kebanyakan orang Melayu. Pendek kata, Mahathir sendiri menjadikan dirinya sendiri sebagai musuh utama orang Melayu
Orang Melayu sudah semakin bijak, tidak rela dipijak-pijak oleh figura seperti Mahathir. Orang Melayu juga semakin bijak meneroka peluang untuk memajukan diri sendiri. Mahathir tidak perlu menjadi pejuang orang Melayu kerana peluang yang pernah diberikan kepada beliau tidak dimanfaatkan.
Suatu ketika dahulu, orang Melayu pernah berdiri teguh di belakang Mahathir, namun kini orang Melayu pula meninggalkan Mahathir jauh ke belakang. Mahathir kian terdesak, guna naratif komuniti lain untuk berkuasa semula. Persoalannya, mampukah Mahathir dan GTA saling membantu untuk menang? Sama-sama kita tunggu PRU akan datang.
Dzulkarnain Othman
Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette