Presiden Malaysian International Humanitarian Welfare Foundation (MIHWF), Datuk M.Devman Segar (kanan) berjalan keluar dari balai selepas selesai membuat laporan polis mengenai kes Hakim, Datuk Nazlan Ghazali terhadap penganiayaan kepada Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat untuk menggesa siasatan dibuat terhadap Peguam Negara (AG) yang didakwa melindungi bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Presiden Malaysian International Humanitarian Welfare Foundation (MIHWF), Datuk M. Devman Segar dalam laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini berkata, tanpa sebarang alasan kukuh, Tan Sri Idrus Harun seolah-olah melambat-lambatkan pendakwaan terhadap Mohd Nazlan.

Tambahnya, perkara itu sangat mengecewakan dan akan menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem keadilan di negara ini.

“Mengapa Jabatan Peguam Negara menafikan di dalam Afidavit Jawapan bahawa terdapat siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan? Sedangkan pada 23 April 2022, Ketua Pesuruhjaya SPRM (Tan Sri Azam Baki) sendiri telah mengesahkan wujud siasatan terhadap Nazlan seperti yang dilaporkan sebuah portal berita” katanya selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi  hari ini.

Terdahulu Devman hadir ke IPD Dang Wangi membuat laporan pada pukul 2 petang dan meninggalkan bangunan kira-kira 30 minit kemudian.

Beliau juga menggesa polis menyiasat kesahihan kertas dokumen yang tular di laman sosial kerana sehingga kini masih tiada penafian atau pengesahan oleh SPRM sendiri.

“Pada 29 September lalu, satu portal media melaporkan Azam memaklumkan siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan telah dilengkapkan pada awal Mei 2022 namun dipulangkan kepada SPRM pada awal September.

“Kemudian SPRM telah melengkapkan kertas siasatan tersebut sebelum menghantar semula ke Pejabat Peguam Negara pada 29 September” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, mengikut kertas siasatan SPRM yang tular, Mohd Nazlan telah membuat satu kesalahan di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan kerana gagal mengisytiharkan kepentingan dan peranan beliau dalam kes SRC.

Kesalahan dibawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksima tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Justeru, beliau menggesa PDRM melakukan siasatan dalam kadar segera terhadap dakwaan-dakwaan itu kerana timbul persoalan dalam kalangan masyarakat berkaitan isu tersebut. 

Sebagai rekod, pada 23 April lalu, Ketua Pengarah SPRM mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Mohd Nazlan didakwa menerima wang yang masuk ke dalam akaun semasa menjadi peguam dan setiausaha syarikat perbankan kumpulan Maybank.

Susulan itu, Mohd Nazlan pada 21 April lalu telah membuat laporan polis terhadap blog yang mengeluarkan artikel terbabit serta menafikan tuduhan yang didakwa berniat jahat, tidak berasas, bertujuan mencemarkan kredibilitinya dan menganggu sistem kehakiman.

Sementara itu, mantan aktivis pelajar, Farhan Khairuddin yang turut serta dalam sidang media itu berkata, laporan itu bukan atas sebab bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semata-mata.

Bekas aktivis pelajar, Farhan Khairuddin pada sidang media selepas selesai membuat laporan polis mengenai kes Hakim, Datuk Nazlan Ghazali terhadap penganiayaan kepada Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 NOVEMBER 2022.

Katanya, rakyat perlu memastikan sistem kehakiman telus dan bersih supaya keadilan itu boleh diangkat.

“Sehingga hari ini, soal kedudukan Hakim Mohd Nazlan dan salah lakunya menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat khususnya yang muda mempunyai trust deficit terhadap sistem keadilan negara.

“Ini bukan soal politik. Ia boleh terjadi kepada sesiapa pun, kalau bukan Najib Razak, ia mungkin terjadi pada saya, mungkin pada kalian. Kita nak semua orang dilayan sama rata di bawah undang-undang” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast