Jeck Seng ketika berucap pada Majlis Seminar Mekanisasi dan Buruh Dalam Peladangan (LAMP 2022) di Banda Hilir, Melaka, hari ini.

MELAKA – Minat pekerja tempatan dalam industri sawit hanya meningkat 0.6 peratus tahun ini selain negara turut kekurangan 80,000 tenaga buruh asing dalam sektor perladangan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, ia jauh ketinggalan memandangkan kebergantungan negara pada tenaga kerja asing dalam sektor itu mencecah 75 peratus.

Menurutnya, setakat Oktober lalu, negara hanya menerima kemasukan 13,000 buruh warga asing, berbanding 100,000 yang diperlukan.

“Kekurangan tenaga kerja ini memang menjadi satu isu di mana buah kita tak dapat dikutip atau dituai seperti biasa dan ini bukan sahaja merugikan pengusaha tapi juga kerajaan.

“Rakyat tempatan kita pula nampak tak berminat dalam kerja-kerja menuai yang dilakukan secara manual,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Seminar Mekanisasi dan Buruh Dalam Peladangan (LAMP 2022) di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Menurut Jeck Seng, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehubungan itu sedang giat membangunkan ciptaan baharu pelbagai jenis jentera melibatkan aktiviti pengumpulan, penuaian sawit dan penyelenggaraan ladang.

“Jadi kita harap, melalui apa cara sekalipun dapat menggunakan mekanisasi ini pada masa hadapan untuk meningkatkan produktiviti sawit dan mengatasi isu kebergantungan kepada buruh tempatan.

“Setakat ini lebih 35 buah jentera ladang dibangunkan dan banyak telah dikomersialkan dan kita juga akan memperkasakan koperasi di seluruh negara termasuk kos pembelian mesin pada harga yang berpatutan menggalakkan pekebun kecil beralih kepada mekanisasi,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast