Anifah Aman Tommy Thomas Shafie Apdal Sabah Sultan Sulu Philippines claims demands
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Parti Cinta Sabah (PCS) dijangka bertanding di Parlimen Kimanis – kawasan yang sinonim dengan Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman – pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Timbalan Presiden PCS, Datuk Ansari Abdullah mengesahkan perkara itu tanpa menyatakan siapakah calon yang akan dikemukakan oleh parti itu.

“Tujuan PCS bukanlah untuk merebut jawatan mahupun ganjaran. Apa yang penting kami bertegas untuk mendapatkan hak rakyat Sabah seperti apa yang termaktub secara keseluruhannya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan laporan IGC 1962.

“Wakil rakyat di sini yang telah diundi oleh pengundi gagal menunaikan janji kepada rakyat Sabah, antaranya pengembalian hak Sabah berdasarkan laporan IGC 1962 dan MA63 sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

“Sudah berulang kali kita di Sabah dijanjikan pengembalian semula hak Sabah 100 peratus seperti yang termaktub dalam Laporan IGC 1962 dan MA63 namun selepas PRU apabila berkuasa perkara ini tidak pernah berlaku.

“Pelbagai pihak berjanji manis di hadapan rakyat Kimanis pada PRU 14 dan PRN (2020) namun yang dijanjikan tidak pernah dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

Timbalan Presiden PCS, Datuk Ansari

Susulan pengumuman Ansari, Barisan Nasional (BN) dijangka bakal berhadapan dengan PCS dan Parti Warisan di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU15.

Parti Warisan pada PRU15 akan meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof sebagai calon di kerusi Parlimen Kimanis.

Manakala, penyandang kerusi tersebut, Datuk Mohamad Alamin daripada BN dijangka bakal mempertahankan kerusi yang dimenangi sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2020 setelah kemenangan Anifah pada PRU14 diisytiharkan terbatal oleh SPR melalui petisyen Datuk Karim Bujang (Warisan). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast