MELAKA – UMNO Melaka menyokong penuh calon MCA yang hampir pasti akan dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, beliau dimaklumkan perkara itu petang semalam walaupun senarai rasmi calon bertanding di seluruh negara hanya akan diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur jam 8.30 malam ini.
Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, arahan turut disokong semua 70 Ketua Cawangan UMNO dan 24 Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Tangga Batu dalam satu mesyuarat khas malam tadi.
“Malam ini, kami semua pemimpin cawangan dan ketua PDM sepakat menerima sebulat suara keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN terutama Presiden UMNO untuk memberikan laluan kepada komponen BN iaitu MCA bertanding pada PRU15.
“Sebagai ahli dan pendokong BN, kami sedia menerima sesiapa sahaja yang diarahkan parti untuk bertanding di Parlimen Tangga Batu dan kita akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN,” katanya pada sidang media khas di Klebang di sini lewat malam tadi.
Menurutnya, beliau yakin pengundi di Tangga Batu juga akan memilih MCA untuk membela nasib rakyat sekiranya BN diberi mandat membentuk kerajaan selepas 19 November ini.
Jelasnya, walaupun UMNO sudah bekerja keras selepas PRU14 sebagai persediaan menawan semula kerusi terbabit daripada Pakatan Harapan, kerusi berkenaan bukanlah jaminan mutlak kepada individu.
“Kita (UMNO) bekerja bukan untuk meletakkan seseorang sebagai calon tapi untuk parti dan inilah semangat dan jiwa besar kita demi kebaikan keseluruhan rakan parti di dalam BN.
“Pucuk pimpinan BN juga telah bersetuju untuk diserahkan kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang (kini diwakili MCA) kepada UMNO pada PRU akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai adakah akan berlaku pertukaran kerusi antara kuota UMNO dan MCA memandangkan Parlimen Tangga Batu sebelum ini ditandingi UMNO, Mohamad Ali berkata parlimen itu pernah diwakili MCA pada 1978.
“Kalau dari segi asal dahulu, ia adalah Parlimen Batu Berendam yang pernah dimenangi Tan Sri Chong Hon Nyan mewakili MCA (1978-1982) sebelum dipecahkan menjadi kepada dua kerusi Parlimen iaitu Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya,” katanya.
Bagaimanapun, MalaysiaGazette difahamkan Parlimen Alor Gajah yang sebelum ini merupakan kerusi tradisi MCA akan diserahkan kepada UMNO pada PRU kali ini.
Antara nama terakhir yang disebut-sebut dan hampir pasti bertanding adalah Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Tsunami politik pada PRU14, menyaksikan Parlimen Tangga Batu yang selama ini menjadi kubu kuat UMNO selama tiga penggal sejak mula dipertandingkan pada 2004 dimenangi Rusnah Aluai (PH-PKR) yang mendapat 32,420 undi menewaskan calon BN dan PAS.
Sebelum itu, kerusi berkenaan dikuasai BN bermula PRU11 pada 2004 yang menyaksikan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron memenanginya selama dua penggal bermula 2008 sehingga 2013 sebelum digantikan dengan bekas Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Abu Bakar Mohamad Diah yang menang pada PRU13. – MalaysiaGazette.