KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Pas diminta tidak “bertukar perjuangan” jika tidak terpilih sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta mereka yang tidak terpilih, terimalah dengan lapang dada.
“Jangan tukar haluan hidup semata-mata rasa kecewa kerana tidak terpilih. Mungkin ada tempat yang sesuai yang sedang disusun oleh Allah.
”Ambillah dan renungilah sejarah perjuangan parti yang panjang ini. Jangan kita hitamkan diari hidup semata-mata menurut nafsu kekecewaan, lalu kita rasa pendapat kita lebih hebat dari pandangan jamaah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sekarang bukan masa hendak mencari kelemahan dan kesalahan tetapi membina reputasi positif dalam kalangan pengundi.
Kepada calon yang terpilih, mereka diminta terus mendekati pengundi.
Jelasnya, pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) sudah selesai dan tinggal masa untuk pengumuman sahaja.
Menurut beliau, sekarang adalah masa untuk fokus mencapai kemenangan di kerusi yang ditandingi parti itu.
Beliau turut menambah, ahli-ahli Pas perlu bergerak menyusun dan membantu untuk mencapai strategi yang tepat dan gerak kerja perlu tersusun.
Untuk itu, sarannya, Pas tidak boleh banyak nakhoda sebaliknya hanya satu arahan sahaja. – MalaysiaGazette