Annuar Musa

KUALA LUMPUR – “Biarpun terbuang, kekallah sebagai pejuang yang terbilang,” demikian menurut Tan Sri Annuar Musa yang nekad untuk meneruskan perjuangan selepas tidak akan dicalonkan semula di Parlimen Ketereh.

Dalam masa yang sama, beliau bertekad untuk terus mengajak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah menerusi landasan sedia ada.

“Insya Allah masih ada landasan untuk terus berkhidmat atas jalan kebaikan dan kebajikan, terutama mengajak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.

“Islam dan umat Melayu harus kekal kuat dan berkuasa. Kita kuat jika berpadu dan bersatu padu,” katanya menerusi Facebook.

Annuar antara tiga veteran UMNO yang tidak dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dua lagi rakannya ialah Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tan Sri Noh Omar yang sebelum ini bertanding di Tanjung Karang, Datuk Halimah Sadique dan Datuk Dr Adham Baba juga tidak dicalonkan semula.- MalaysiaGazette