gerik
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berikrar dan berjanji untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di kawasan Parlimen Gerik jika dipilih mewakili mereka selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau juga akan mewakafkan kudrat dan sepenuh jiwa raga serta idea untuk mereka.

“Mohon iringan doa dari semua. Tiada kuasa dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan Allah jua,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Asyraf Wajdi bakal membawa misi besar untuk mempertahankan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Gerik selama 11 penggal.

Beliau dijangka berdepan Tarmizi Mohd. Jam dari Pakatan Harapan (PH) dan Fathul Huzir Ayob dari Perikatan Nasional (PN).

Isham Jalil
Isham Jalil

Sementara itu, calon BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Isham Jalil berkata, beliau akan bekerja keras untuk memberi kemenangan kepada BN untuk rakyat.

“Terima kasih juga kepada UMNO Bahagian Shah Alam, Veteran UMNO Selangor dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor kerana telah mencadangkan pencalonan saya kepada kepimpinan parti.

“Saya pohon kerjasama semua untuk memenangkan kerusi ini dan berkhidmat untuk rakyat. Doakan saya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu diberi kepercayaan untuk mengembalikan kerusi Parlimen Shah Alam ke pangkuan BN selepas dikuasai oleh Pakatan Rakyat dan PH selama tiga penggal sejak PRU-12.

Beliau mungkin bertembung dengan Datuk Husam Musa dari PH dan Dr. Afif Bahardin dari PN.

Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berharap para pengundi di kerusi Parlimen Alor Gajah akan memberi peluang kepadanya untuk mewakili mereka.

“Insya-Allah, jika diberi peluang sebagai Ahli Parlimen, saya akan menggunakan segala kudrat untuk memastikan kesejahteraan hidup dan masa depan yang cerah untuk penduduk Alor Gajah,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya.

Beliau akan mencabar penyandang kerusi tersebut dari PN, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan setakat ini, PH belum mengumumkan calonnya di situ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast