Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Barisan Nasional (BN) Pahang mengumumkan  27 calon muka baharu untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Ia merupakan 64 peratus daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, gandingan baharu dan lama merupakan strategik bagi memastikan kesinambungan inisiatif yang dirancang menerusi  percambahan idea-idea segar.

Jelasnya, calon yang dibariskan mewakili semua parti komponen berdasarkan persetujuan dan persefahaman atas semangat dan muafakat Barisan Nasional.

“Bagi kerusi Parlimen, seperti yang telah diumumkan Datuk Seri Presiden semalam, Barisan Nasional menampilkan 8 muka baru daripada 14 kerusi.

“Tidak berlaku pergeseran atau masalah yang besar dalam merunding dan membahagikan kerusi antara parti-parti komponen BN.

“Inilah kekuatan BN, iaitu keupayaan kita untuk berunding dan berbincang dengan baik dalam segala perkara. Tidak ada yang mahu membawa bendera dan logo sendiri. Tidak ada yang merajuk dan mengugut parti,” katanya pada majlis Pengumuman Calon BN Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Seramai 40 calon DUN dan 14 Parlimen Pahang diumumkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November.

Bagaimanapun dua kerusi DUN, Cheka dan Sabai tidak diumumkan pada majlis itu.

Menurut Pengerusi BN Pahang itu, calon yang dipilih terdiri daripada pelbagai peringkat termasuk golongan profesional.

Kata Wan Rosdy, penyertaan anak muda merupakan pengiktirafan BN terhadap golongan itu yang membolehkan mereka menyumbang secara langsung kepada pentadbiran negeri Pahang dan masyarakat setempat.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai lapan calon wanita dipilih bertanding pada pilihanraya kali ini.

“Ini merupakan resipi tradisi dan kepercayaan BN, bahawa kaum hawa kita adalah kelompok yang berbakat, terbukti dan teruji berupaya memberikan yang terbaik untuk negara dan negeri,” ujarnya.

Berikut adalah senarai calon muka baharu bagi merebut kerusi DUN Pahang:

Wong Ah Yap (N01,Tanah Rata), Lim Teck Hoe (N07 Tras) Fadzli Mohamad Kamal (N08 Dong) Faezah Ishak (N09, Tahan), Muhammad Fasal Jamlus (N10.Damak), Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid (N12, Beserah) Khairul Hisham Omar (N13 Semambu), Tee Choon Ser (N14 Teruntum) dan Nara@Nikman Nordin (N15, Tanjung Lumpur),

Umar Arbain Dollah (N17 Sungai Lembing), Fauziah Abdul Wahab (N19 Panching), Datuk Mohd Nizar Najib (N21 Peramu Jaya), Jamaluddin Md Marzuki (N24 Luit) Mohd Khairuddin Mohd ali Hanafiah (N2, Kuala Sentul), Saiful Anuar Mohktar (N26 Chenor), Datuk Rodzuan Zaaba (N28 Kerdau), Nor Hasmimi Abdul Ghani (N29 Jengka), Wong Tze Shiang (N30 Mentakab) serta Datuk Razmi Sudin (N31, Lanchang).

Wong Siew Mun (N333 Bilut), Datuk Amizar Abu Adam (N34 Ketari), Datuk Seri Johari Harun (N36 Pelangai), Datuk Sabariah Saidin (N37 Guai), Yee Cheng Hwa (N38 Triang) Khaizulnizam Mohamad Zuldin (N39 Kemayan). – MalaysiaGazette