KUALA LUMPUR – Meskipun pernah mengumumkan persaraannya dalam arena politik, namun disebabkan tidak mahu menghampakan pengundi pelbagai kaum di Bentong merupakan punca Tan Sri Liow Ting Lai dicalonkan kembali di kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu, sejak dua tahun kebelakangan ini, Tiong Lai sering ditemui penduduk di kawasan tersebut yang mahu beliau menjadi wakil rakyat semula di Bentong.
Katanya, ada bertemu dengan Tiong Lai dalam keadaan menangis dan ia berlaku ekoran bekas presiden MCA itu banyak berjasa kepada penduduk di Bentong.
“Beliau sejak tahun 1989 ketika Tan Sri Lim Ah Lek menjadi Ahli Parlimen Bentong dan beliau sebagai setiausahanya telah turun membantu sehinggalah tahun 1999 beliau pula bertanding.
“Jadi, sejak itulah beliau telah bersama dengan orang Bentong. Lihatlah respon macam mana masyarakat tempatan mengalu-alukan Tan Sri Liow untuk berada di situ,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah MCA yang meletakkan semula Tiong Lai mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bentong pada PRU akan datang, sedangkan beliau pernah tewas pada PRU14 lalu sehingga membuat keputusan mengundurkan diri sebagai Presiden MCA.
Mengulas lanjut Ka Siong berkata, beliau mengimbau pertemuannya dengan Tiong Lai setahun setengah yang lalu dan berkongsi cerita mengenai satu insiden kebakaran yang berlaku di Karak, Bentong.
Katanya, Tiong Lai merupakan orang pertama yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa terlibat dengan mencari jalan, mencari arkitek dan jurutera untuk membantu mangsa membangunkan semula rumah mangsa-mangsa yang musnah.
“Mana ada seorang mantan ahli Parlimen yang boleh melakukan kerja-kerja ini dengan menggunakan dana berjuta-juta ringgit, guna tenaga untuk bantu mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, Tiong Lai hanya berhasrat untuk membantu BN merampas semula kerusi Parlimen Bentong dan itu merupakan misi yang jelas buat MCA.
Sementara itu, menjawab pertanyaan sama ada Tiong Lai mampu menandingi pencabarnya iaitu Young Syefura atau Rara yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen berkenaan, Ka Siong berkata, segala persoalan akan terjawab apabila peti undi dibuka pada 19 November kelak.
Katanya, tidak perlu menang sorak kampung tergadai kerana yang paling penting adalah gerak kerja yang perlu ditunjukkan.
“Kalau diizinkan oleh tuhan saya rasa BN dapat rampas balik Bentong, walaupun saingannya agak sengit,” tambahnya. – MalaysiaGazette