BANGI – Gerakan Tanah Air (GTA) belum memutuskan calon untuk diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi penaja GTA itu berkata, calon PM akan diputuskan sebaik gabungan itu memenangi PRU15.
“GTA tidak senaraikan calon PM. Calon PM akan ditentukan kalau gabungan itu menang PRU15,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan 121 calon bagi kerusi Parlimen.
Turut hadir adalah Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali; Presiden parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Dalam perkembangan berkaitan GTA, kata Mahathir, akan melancarkan manifestonya tidak lama lagi.
“Manifesto akan dikeluarkan dalam sehari dua lagi,” katanya.
Ditanya sekiranya GTA gagal membentuk kerajaan, Mahathir berkata, perkara itu akan diputuskan selepas PRU15.
“Semuanya akan ditentukan selepas pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Mahathir berkata tiada pemimpin UMNO yang digugurkan oleh parti itu datang berjumpa dengannya.
“Tidak ada, tidak ada pertemuan (antara saya dengan pemimpin UMNO yang digugurkan), tapi saya rasa kasihan kepada mereka.
“Tidak ada perancangan untuk jumpa mereka sebab kerusi sudah penuh,” ujar Mahathir. – MalaysiaGazette